TIPS PENJIMATAN ELEKTRIK

by - December 18, 2018

Peningkatan bil elektrik merupakan salah satu perkara yang sentiasa menjadi bebanan buat setiap isi rumah. Malah, kita juga telah melakukan segala tips yang diketahui demi mengurangkan penggunaan elektrik namun kadang kala, tiada apa yang boleh dilakukan sangat.
Masakan tidak, cuaca di Malaysia sekarang ini memang sangat panas dan sebolehnya kita memerlukan penghawa dingin dan menggunakan kipas sepanjang masa agar lebih selesa.

Namun begitu, siapa kata masalah bil elektrik melambung tinggi tidak boleh dikawal? Dengan cara penggunaan perkakas elektrik yang betul, anda pasti dapat mengurangkan jumlah bil elektrik yang perlu anda bayar setiap bulan!
Lihat beberapa tips yang diberikan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) sendiri bagi menjimatkan penggunaan elektrik.

1. Basuh baju semaksima mungkin.
Penggunaan mesin basuh merupakan salah satu perkara yang memerlukan tenaga elektrik yang banyak. Dengan mengisi mesin basuh baju sehingga penuh, anda bukan sahaja dapat menjimatkan masa tetapi juga air.

Sebaiknya, cuci pakaian kotor anda sebanyak mungkin. Jangan memasukkan hanya lima ke enam helai pakaian dalam mesin basuh, Itu membazir namanya!

2. Pastikan penapis penghawa dingin sentiasa dicuci.
Alat penghawa dingin yang bersih membolehkan ianya beroperasi dengan lebih efisien. Hal ini kerana penapis yang bersih dapat mengeluarkan lebih banyak angin dingin sekali gus menjimatkan penggunaan elektrik di rumah anda.

3. Tutup pintu dan tingkap semasa menggunakan penghawa dingin
Semasa menghidupkan penghawa dingin, pastikan setiap ruangan seperti pintu dan tingkap ditutup rapat bagi membolehkan ruang bilik anda menyejuk dengan cepat. Lebih kecil ruangan, lebih rendah bil yang perlu anda bayar.

4. Pilih mentol jimat tenaga.

Mentol lampu jimat tenaga memerlukan bekalan elektrik yang sedikit tetapi mampu bertahan dengan lebih lama.

5. Gosok baju semaksima mungkin dalam seminggu.
Menggosok baju yang banyak sekali gus dapat mendorong kepada penjimatan tenaga elektrik. Cara ini juga lebih bagus kerana anda tidak lagi tergesa-gesa menggunakan seterika setiap pagi sebelum ke sekolah atau ke tempat kerja.

6. Penuhkan air dalam cerek.

Jika anda menggunakan cerek elektrik untuk memasak air, pastikan anda mengisi air ke paras penuh. Kaedah ini dikatakan lebih menjimatkan penggunaan tenaga sekali gus membolehkan anda membayar bil pada kadar yang lebih rendah!


7. Guna perkakas elektrik dengan label 5 bintang seperti dalam gambar.
Kredit foto: The Green Mechanics
Perkakas elektrik yang mempunyai label ini direka untuk beroperasi dengan lebih efisien sekali gus mengurangkan penggunaan tenaga elektrik.

8. Jarakkan peti sejuk dengan dinding.
Anda perlu meletakkan peti sejuk anda pada kedudukan tertentu dengan jarak sekurang-kurangnya 10 sentimer daripada dinding. Hal ini demikian kerana ruang tersebut berfungsi untuk membolehkan peredaran yang lebih baik. Di samping itu, jauhkan peti sejuk daripada kawasan yang panas seperti dapur gas.

9. Pastikan anda mematikan komputer riba atau komputer jika tidak digunakan.
Komputer akan terus menggunakan tenaga walaupun anda meletakkannya dalam mod standby. Jadi, bagi menjimatkan penggunaan elektrik, matikan komputer anda setiap kali tidak menggunakannya.


10. Gunakan alat pemasa untuk peralatan yang digunakan pada waktu tertentu sahaja.
Alat pemasa ini boleh dipasang pada lampu di luar rumah anda. Dengan alat pemasa ini, lampu luar rumah anda hanya akan terpasang pada waktu yang dimahukan sahaja dan akan terpadam sendiri apabila masa tamat.


11. Gunakan lampu kalimantang T5.
Lampu kalimantang jenis T5 ini mampu membekalkan cahaya yang terang dan menggunakan tenaga yang sikit.


12. Kekalkan suhu penghawa dingin.
Tetapkan suhu penghawa dingin anda di antara 23 hingga 25 darjah Celcius bagi kesejukan yang optimum dengan penjimatan berganda.


13. Susun atur barangan dalam peti sejuk.
Peti sejuk yang tersusun rapi membolehkan tenaga elektrik dijimatkan. Jika peti sejuk anda berselerak, ia akan menggalakkan peredaran angin dingin yang tidak menentu.

14. Gunakan air sejuk semasa membasuh baju.
Penggunaan air suam akan membuatkan mesin basuh beroperasi dengan lebih kuat sekali gus menggunakan lebih banyak tenaga.








You May Also Like

0 comments